Wednesday, February 23, 2011

Segalanya bermula dari prasangka

Manusia selalunya akan memulakan sesuatu itu dengan andaian.Lihatlah jika seseorang itu mahu melakukan sesuatu misalnya,sesuatu andaian itu akan mempengaruhi tahap gerak kerja yang akan dilakukan olehnya.Bahawasanya di sini andaian itu adalah ciptaan pertama otak dalam menterjemahkan produk yang akan dihasilkan.Misalnya,kilang roti adalah suatu tempat dimana dihasilkan roti-roti di situ tetapi segalanya bermula dari pengurus syarikat roti tersebut.Andaian pertama pengurus adalah menyatakan bahawa roti-roti coklat perlu dihasilkan kerna ia menjadi kegemaran masyarakat masa kini.Maka pekerja-pekerja akan berusaha menghasilkan roti coklat yang terbaik.Apa yang dapat disimpul di sini adalah prasangka pertama itulah yang menghasilkan gerak kerja kita yang seterusnya.Sejauh mana kita berusaha untuk melawannya mahupun untuk merealisasikan nya.

Bulatan kehidupan ini adalah bermula dari prasangka.Jika prasangka kita baik terhadap kehidupan kita,maka akhirnya juga akan baik.Nilai kehidupan itu juga terletaknya pada prasangka kita terhadap diri.Yakinnya kita pada diri adalah prasangka yang dapat memotivasikan diri kita untuk bergerak dengan berani kehadapan.Ia diibaratkan seperti "menjawab soalan peperiksaan".Ketika kertas soalan berada di hadapan anda,apa yang anda fikirkan?..Sebahagian dari kita,sudah tentunya merasa gementar untuk menjawab.Dan kelangsungan daripada prasangka serta perasaan gementar itulah yang menyukarkan kita untuk menjawab soalan.Lihat sahaja muka hadapan kertas soalan,otak mula bertindak dalam memproseskan prasangka awal.Segala-galanya terletak pada prasangka.

Pernah atau tidak anda menghadapi hari-hari dengan ketenangan dan keceriaan?.Beruntunglah bagi mereka yang pernah melaluinya kerna mereka sebenarnya telah berjaya menerapkan sikap prasangka baik pada kehidupan mereka.Biar ditimpa dugaan yang tidak henti-henti namun masih tersenyum dan gagah mengharungi dengan ketenangan.Prasangka bukanlah ubat mahupun penawar tetapi adalah kekuatan dalam membawa diri ini lebih berjaya.Seandainya hari ini kita mengharungi hari-hari dengan penuh kesukaran,hari-hari yang terasa kosong dan kadangkala kita ditimpa penyakit,kutukan,hinaan dan bebanan yang melemah.Apa yang harus kita lakukan?.Jawapannya adalah prasangka baiklah terhadap masa depan kita.Bila kita mula dirundung malang,usahlah kita menyangka bahawa malang ini akan berterusan mahupun menjadi penghalang pada kita untuk kita bangkit.Sebaiknya kita berprasangkalah bahawa inilah cubaan untuk orang yang berjaya.Jika tidak berjaya di dalam akademik tetapi berjaya di dalam mendekatkan diri dengan Allah.Kerna kejayaan itu hanya milik Allah dan bukanlah milik kita yang hakiki.Prasangka terhadap kehidupan kita adalah dikira sebagai prasangka terhadap Allah kerna kehidupan ini adalah diaturkan oleh Allah dan hanya manusia itu adalah hamba yang berusaha dalam mengubah kehidupan ini menjadi lebih baik.Renungilah sabda Rasulullah :

"Dari Jabir berkata: Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah Azza Wajl (sebagaimana firman Allah) "Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu, prasangka itu telah membinasakan dirimu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi".  (FUSHSILAT, 23:41).  H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.


Monday, February 21, 2011

Pasrah Segalanya

Mahu menangis,mungkin sukar untuk diterjemahkan apa yang tersirat ini.Gerak kata aku itu bagai menjadi simbolik kepada betapa kita redha dengan perjalanan hidup yang berliku ini.Terbuku di hati memikirkan perjalanan ini.Lemah dan rasa terjatuh pabila memungkiri janji pada Allah.Lantas Allah memberi kita ujian dan dugaan.Namun kita terus bergerak ke hadapan dan terus maju ke hadapan kerna kita yakin ada hikmah dari apa yang menimpa diri ini.Tidak terdaya aku menahan dugaan bertubi ini sehingga mengajar aku erti hidup ini.Berbekalkan limpahan iman dari Allah inilah aku terus berdiri dan melangkah agar terbitnya mentari pagi setelah berlalunya malam yang penuh kehinaan.Siapalah aku jika ingin menduga yang dihadapan.Insan seperti aku ini akan rebah jika makin lupa.Kadang-kadang terasa hina diri ini kerna di suatu masa aku merasakan tiada siapa yang menemani aku.Melalui hari-hari dan laluan yang penuh gelap gelita.Aku akui segalanya adalah perancangan tuhan.Allah itu maha mengetahui.Mengetahui yang terbuku di hati ini.Lindungilah aku dengan rahmat darimu agar aku kuat dengan semua ini.Semoga dakwah dan kehidupan aku ini tidak terhenti dengan mudah.Agar aku gagah melalui dengan penuh berhikmah.


Yakinnya aku dengan kehidupan yang mencabar ini.Yakinnya aku bahawa Allah itu wujud.Yakinnya aku bahawa Allah itu mencipta aku.Dan terlalu yakinnya aku bahawa Allah akan membantu hambanya yang bersabar dan bijak mengatasi kehidupan sebagai muslim ini.Bertuahnya aku kerna dilahirkan sebagai islam kerna manisnya keimanan yang akan dapat aku kecapi di dalam islam itu sendiri.Kenapa aku rasa terguris ?.Aku dihina di atas dunia.Aku ketahui ini semua memang salah aku namun sebagai hamba yang bergerak keseorangan di muka bumi ini,aku tahu bukan mudah.

Berkuasanya Allah itu.Bijak nya Allah itu.Selama kita hidup,kalian semua betul-betul bersyukur atau tidak?.Bersyukur dengan sebenarnya.Mentaati perintah Allah.Taati itu tanda kita bersyukur.Seandainya aku pasrah dan sahabat-sahabat juga pasrah atas segalanya yang berlaku ini,itulah tanda kita bersyukur.Perancangan Allah itu indah.Walau ada yang yang perit kerna menikmati kehidupan cinta Allah ini.Jawapannya ia  memanglah perit yang beerti manis.

Suka atau tidak.Selagi bergelar hamba Allah,laluilah dengan rasa manisnya segalanya.Jika terasa pahit,fahamilah ia hanya sementara kerna untuk menduga.Marilah bersama melalui dengan menerima segalanya.Tidak gelisah atau putus asa.Layarkan senyuman untuk hidup.Bersangka baiklah dengan Allah dan percaya andai kita terus berjaya melalui satu persatu ujian dan dugaan ini,tentulah suatu yang manis menanti dihadapan.Bertahanlah dan terus bertahan.Kita dicipta dengan sebaik-baik kejadian dan betapa mulinya kita kerna kita ciptaan Allah.Maha besarnya DIA kerna dia tahu mengapa kita dicipta.Bumi dijadikan untuk jalan kita mencari Syurga.



Friday, February 18, 2011

Kau rindukan aku,aku juga rindukan kamu..

Ingin juga berbicara tentang cinta tetapi rindu juga datang bersama.Bila rasa cinta,rindu pasti mengintai posisi untuk berebut tempat dengan cinta.Ketika cinta mula bertasbih dan seiring dengan itulah rindu juga turut tertulis di hati ini.Tautan kasih adalah suatu bentuk wacana cinta yang bersatu bersama rindu.Hari ini kita bercinta,esok mula terwujudnya bibit-bibit rindu.Mesti sahabat-sahabat dan juga saya tertanya-tanya apa kaitan cinta itu dengan rindu.Kalau ingin dikatakan cinta itu datang dengan tiba-tiba,pasti ramai tidak meyakini tetapi jika rindu itu datang tiba-tiba tentu ramai yang menganggukkan kepala.Sebenarnya rindu itu hadir tatkala kita mula bercinta.Hati terusik pabila kita mendapat sekuntum senyuman dari si dia.Itulah lumrah cinta.Sekadar memberi senyuman,sudah cukup membuatkan seseorang itu tertawan hatinya.


Setelah berlalu beberapa hari yang lepas,tentulah remaja zaman kini masih terasa bahang cinta itu.Manakan tidaknya,hari memperingati kekasih baru saja berlalu pada 14 Februari lepas.Semua ini adalah dasar cinta yang sering diperkatakan oleh remaja.Dan bila rindu meletus,akan terbitlah suatu fenomena yang merendahkan martabat serta maruah seseorang itu.9 Bulan dari sekarang,sahabat-sahabat akan dapat melihat statistik peningkatan pembuangan bayi luar nikah meningkat secara drastik.Semakin ramai anak-anak gadis dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak.Mereka ini tiada sifat malu.Malu kepada masyarakat,ibu bapa dan yang utama kepada agama dan Allah.Mencalar maruah agama,merosakkan nama baik Islam.Jika inilah umat islam yang kononnya mempunyai perasaan cinta,lebih baiklah buang saja perasaan itu.Cinta itu adalah lumrah dan begitu juga rindu adalah kurniaan kepada manusia.Untuk apa Allah memberikan rasa itu?..Adakah sekadar untuk kita berpesta seks di malam Valentine atau untuk bersuka ria tanpa hadnya?..


Negara kita negara maju menjelang 2020 atau negara kita negara kehancuran akhlak remaja Islam menjelang 2020.Mana yang anda pilih?.Realitinya pilihan kedua itulah yang ditonjolkan kini.Dimana letak nya kemajuan jika masyarakatnya kabur dari pegangan.Kerana maju inilah mereka semakin buta hati dan buta segalanya.Akhirnya berjaya juga misi musuh kita.Musuh kita "syaitan" yang pernah berjanji akan menyesatkan umat manusia agar berpaling dari agama.Suatu sifat yang cukup bagus yang ada pada syaitan ialah "tidak berputus ada".Bukan ingin mencontohi syaitan tetapi inilah suatu sikap yang ada pada mereka yang membuatkan kita tewas.Bagaimana ingin kita tewaskan mereka?.Ketika inilah kita wajib menggunakan senjata "cinta dan rindu" itu sebagai senjata mempertahankan diri dan melawan musuh durjana ini.Anda cinta dan rindukan Rasulullah,barulah anda dapat menewaskan syaitan musuh Allah ini.Saya ingin berkongsi sedikit ilmu dan contoh buat kita agar bertambahnya cinta kita pada nabi Muhammad.Diantara akhlak mulia yang seharusnya kita ketahui tentang Nabi Muhammad ialah :


Baginda selalu lebih dulu memulai salam dan menjabat tangan siapa yang menjumpainya dan tidak pernah menarik tangan itu sebelum shahabat tersebut yang menariknya.Baginda tidak pernah menjulurkan kaki di tengah shahabatnya hingga menyempitkan ruang bagi mereka.Baginda sentiasa memuliakan sesiapa yang datang, kadang-kadang dengan membentangkan bajunya. Bahkan baginda memberikan alas duduknya dan dengan sungguh-sungguh.Baginda memanggil sahabat dan tetamu-tetamunya dengan nama yang paling mereka sukai.Baginda tidak pernah  memotong pembicaraan (percakapan) orang, kecuali sudah berlebihan.Apabila seseorang mendekatinya saat ia sholat, baginda cepat-cepat menyelesaikan sholatnya dan segera bertanya apa yang diinginkan orang itu.


Itulah antara contoh-contoh sikap nabi yang seharusya kita contohi dan ikuti.Hari Maulidur Rasul baru saja berlalu.Namun ingatan kita kepada Nabi Muhammad janganlah terhenti di sini sahaja.Selagi kita bergelar umat islam,kita bertanggungjawab melawan syaitan laknatullah ini dengan rasa penuh kecintaan buat kita kepada Allah.


Berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku: Berkata Jibril a.s. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail a.s.: "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil a.s.: "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah s.w.t. dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah s.w.t. mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail a.s. pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi." ..



Bersama-samalah kita renungkan dan amalkan setiap ilmu yang berguna ini.Insaflah wahai sahabat kerna jika kita leka mengejar dunia,maka kita juga akan ditelan oleh dunia...Dan ketika itu,kita akan tertimbus mati bersama-sama durjana.Wallahualamm...

Tuesday, February 15, 2011

Bila Alam berbicara dengan tinta Allah

Jumaat lepas,saya bersama sahabat saya memanfaatkan masa terluang di sebelah petang nya untuk bersiar-siar menikmati keindahan Alam.Sedang manusia lain bergembira di pusat beli belah,kelab-kelab hiburan malah ada juga yang melepak tanpa arah di tepian jalan raya.Di waktu yang terluang ini saya bersama sahabat saya mencuri sedikit masa untuk beriadah di kawasan yang mana saya dapat berfikir dan meransang minda untuk lebih kreatif.Daun-daun menghijau,udara yang nyaman dan persekitan semulajadi yang jauh dari hiruk pikuk kebisingan manusia mengejar dunia.Di sini kurangnya mata akan berbuat dosa seperti ketika berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Mungkin sahabat diluar sana sudah biasa di tempat ini tetapi tempat yang biasa inilah yang membawa kita dekat dengan Allah sebenarnya.Petang itu saya bersama sahabat melawat Zoo Negara.Memang inilah kali pertama saya memasuki Zoo Negara walau sudah 20 tahun tinggal di Malaysia.Tiket masuk adalah RM20.Tidaklah begitu murah bagi sebahagian orang tetapi apalah salahnya kita mengeluarkan sedikit wang ini sekadar untuk kita merasai nikmat Alam semulajadi."Bestnyeeee" itulah yang terkeluar dari mulut saya.Macam orang yang tidak pernah masuk Zoo.Tentu sahabat-sahabat diluar tertawakan dengan gelagat saya ini.Mengapa saya mengatakan bestnyeeee?..Cuba anda cari jawapannya sendiri.Sudah dapat beritahu saya..(Melawak sahaja)

"Bestnyeee" adalah kata-kata bagi menonjolkan rasa penuh kenikmatan bagi manusia.Seperti juga ketika memakan sesuatu makanan ..Perkataan "sedapnyeee" pasti terkeluar tanpa disedari.Itulah tandanya kita merasai nikmat makan tersebut.Begitulah juga ia sama maksud dengan bersyukur.Bersyukur itu ialah rasa penuh kenikmatan atas nikmat Allah,kurniaan Allah.Dapat ditafsirkan di sini,perkataan yang terucap dari bibir secara sepontan yang menunjukkan kearah betapa rasa kenikmatan itu adalah tanda kita betapa syukur dengan nikmat Allah.Pabila bersyukur,sudah tentu hatikan dekat dengan Allah.Mana mungkin orang yang bersyukur semakin jauh dengan Allah kerna hanya orang yang kufur nikmat itulah yang begitu jauh dari Allah.

Pemandangan menghijau di dalam Zoo.Binatang dari berbagai spesis.Sudah tentu yang paling "cute" ialah penguin.Sejenis binatang yang penuh sifat kemanjaan dan telatah comelnya ketika berjalan.Unik sungguh ciptaan Allah kerna Allah jadikan makhluknya dengan bersebab.Lihatlah tumbuhan-tumbuhan dan binatang-binatang saling memerlukan antara satu sama lain.Binatang yang makan tumbuhan akan menjadikan tumbuhan di sekitarnya sebagai makanan dan setelah makan pasti perut binatang akan mencerna makanan dan memproses serta terbentuknya buangan iaitu najis.Dalam masa yang sama,najis itu akan menjadi baja pada pokok di sekitar untuk tumbuh dengan subur.Kehidupan Alam sekitar berputar mengikut keperluan dan kehendak masing-masing.Saling memerlukan dengan tanpa hadnya.

Alam berbicara dari tinta yang diterjemahkan dari kehendak Allah.Orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang berfikir dari setiap kejadian Allah ini.Maksud Firman Allah dalam surah Al-Ankabut " Katakanlah Muhammad,Berjalanlah kamu diatas muka bumi ini,maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan makhluk dari permulaannya"..Sudah terbukti bahawa kejadian ini adalah mempunyai sebab tertentu yang menyuluh kehidupan kita malah fikiran kita dalam membawa makna kehidupan yang sebenar.Mengerakkan akal serta membawa jiwa agar bertindak dalam memikirkan akan kehendak Allah di atas muka bumi ini.Tatkala bumi bergegar sekalipun,hanya manusia yang berfikir akan mula sedar akan itulah tanda akhir zaman.Mereka ini akan mula bertaubat agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Berjalanlah di atas muka bumi ini.Saya bukanlah mengajak anda membuang masa.Dengan berjalan di atas muka bumi Allah ini sambil memerhatikan kejadian-kejadian Alam ini akan membawa kita mengenali Allah dengan sebenarnya.Waktu terluang setelah penat belajar,luangkan masa walau sedikit untuk memperhatikan kekuasaan Allah sebelum badan ini menjadi sakit.Sekadar perkongsian pengalaman dan luahan rasa dari iman dan jiwa yang penuh keikhlasan.Andai tulisan ini kurang memuaskan sahabat-sahabat diluar,harap ditegur secara berhemah agar pembawakannya lebih terjaga dalam erti kata sebenar.Wallahualam...



Thursday, February 10, 2011

Tinta Cinta Buatmu

Ingin sekali aku menulis nota cinta untuk-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kutuliskan untuk-Mu,
Bersama embun titisan air mata cinta pada-Mu.



Ingin sekali aku mengarang nota cinta buat-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kukarang buat-Mu,
Bersama bunga perasaan rindu yang menggebu-gebu.



Ingin sekali aku mengirim nota cinta pada-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak dikirim pada-Mu,
Bersama wangian kesetiaan yang yakin dan padu.



Jika ku tulis, ku karang lalu kirim padaMu,
Masihkah Kau sudi membacanya seperti dulu?
Suatu nota dari seorang aku,
Yang hina lagi jahil malah kaku,
Dalam menanggapi erti cinta sejati dariMu.



Jika ku tulis, ku karang lalu kirim pada-Mu,
Sudikah Kau membalasnya buat diriku?
Sebuah nota pada seorang aku,
Yang curang tak bererti lagi buntu,
Dalam menanggapi erti kehambaan pada-Mu.


Ingin sekali aku memberikan nota cinta untuk-Mu,
Tapi aku malah jadi tidak tahu,
Mahu bermula dari mana,
Mahu mengakhirkan bagaimana.

Allah...

Apakah masih pantas untuk mulutku yang hina ini,
Menyebut nama-Mu Yang Agung itu,



Dikongsi dari seorang sahabat - Alhafiz Kassim

Wednesday, February 9, 2011

Bidadariku itulah zaujah ku

Sabda Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

Ketika cinta mula menyapa tatkala itulah hati mula terpegun dengan kecantikan hiasan dunia ini.Wanita adalah perhiasan dunia dan sebaik-baik perhiasan dunia dalah wanita solehah malah wanita solehah adalah lebih baik lagi dari bidadari yang sedang menunggu para soleh di syurga yang hakiki.Indahnya dunia kerna ia dihiasi dengan "Quratul Ain" penyejuk mata dan yang menenangkan jiwa.Aku memandangkan wanita-wanita ini sebagai satu kekuatan yang perlu diperlihara dengan telunjuk syariat.Jika tidak dijaga,pasti mereka ini luluh.Aku ini keturunan dari Adam A.S.Wanita itu datangnya dari keturunan isteri Adam iaitu hawa.Adam begitu mencintai hawa.Ketika Adam kesunyian di syurga,Allah itu mengetahui bahawa Adam perlukan seorang teman.Teman yang menemani ketika duka dan suka malah pembawa kepada ketenangan hati dan kebahagian hidup.

Best kan dunia ini.Dunia ini nikmat buat kita.Dunia indah jika kita hidup kerna Allah.Memandang segalanya dengan keimanan.Dalam dunia Allah annugerah rasa cinta kita sesama manusia.Rasa cinta antara lelaki dan perempuan.Aku juga ingin jatuh cinta.Jatuh cintaku hanya untuk isteriku nanti.Dalam mencari si dia,aku mula tertanya-tanya.Aku terfikir selalu.Ehh ,, kenapa lah aku selalu memikirkan tentang baitul muslim ..Aku ini lelaki,Adam pun inginkan teman.Selama ini aku pernah meminati wanita-wanita diluar sana tetapi itu semua nafsu.Kini aku mula sedar.Alhamdulillah rahmat Allah dicurahkan kepada yang mencari nya.Aku hanya akan menyerahkan cinta aku pada isteri aku sahaja.Bukan pada wanita-wanita yang bukan mahram aku.Wanita,cinta dari kaum Adam adalah ibarat air sungai yang mengalir dengan penuh ketenangan dan kadang-kadang deras.Cinta aku tidaklah sekuat cinta Allah kepadaku.Allah itu lagi hebat.Aku hanya memiliki sedikit cinta yang dikurniakan.Akan aku manfaat rasanya cinta ini buat bidadariku nanti.

Wanita,kamu itu bernilai pada kami.Dan sebaiknya jadilah wanita yang bernilai pada pandangan Allah.Akhlak wanita itu adalah imej kepada agama dan kepada dirimu sendiri.Akhlak dan agama adalah adik beradik.Akhlak adalah imej kepada agama.Aku bagaikan terkedu bila mata hatiku sering terjumpa wanita-wanita solehah.Di peringkat usia muda ini,aku selau terbayang akan mendirikan rumah tangga.Tetapi aku sedari yang aku perlu mendirikan dulu agama aku agar ia utuh.Aku ingin membina akhlak dalam jiwa aku agar ia menjadi semakin dan mampu melawan hasutan dunia.Lumrah manusia itu adalah cinta.

Cinta yang sebenarnya ialah cinta buat Allah.Bidadariku,letakkan lah cinta kamu pada Allah.Allah pasti gembira dan memberikan kita balasan.Aku cintakan Allah dan aku cintakan isteriku yang mencintai Allah.Siapalah isteriku nanti ye?..Tidak mengapalah,Allah itu maha adil.DIA akan mengaturkan siapa yang akan menjadi jodoh kita.Apa yang penting adalah menjadi hambanya yang soleh dan taat.Wanita,jadilah hamba Allah.Jadilah hambanya yang sebenar.Suamimu yang solehah menantikan kehadiranmu.Hargailah ia seperti mana kamu menghargai kehidupanmu.Hargailah ia dengan agama mu dan peliharalah akhlakmu agar suamimu nanti akan bahagia disisimu.

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)

Itulah janji Allah S.W.T buat semua manusia. Seandainya kita menginginkan isteri atau suami yang baik, kita haruslah terlebih dahulu menjadi seorang yang baik. Tak mungkin seorang yang baik akan mendapatkan wanita yang tidak baik atau sebaliknya. Seandainya anda masih meragui kalimah ilahi, kalimah siapakah lagi yang tinggal untuk anda ikuti?..

Renungilah wahai wanita hiasan dunia.Aku bercita-cita menjadi yang terbaik buat Allah.Kerna aku yakin dengan kalimah Allah ini.Duhai kalian ,aku merayu jadilah hamba yang baik.Bersama-sama kita ke gerbang kebahagian jika kita benar-benar ditentukan oleh Allah untuk bersama-sama dengan jodoh kita yang baik.



Tuesday, February 8, 2011

lagu Ya Robbi Oleh Syamsul Yusof

Kadangkala kita lupa
Kadangkala kita leka
Kadangkala kita buta
Dia memerhatikan kita

Ya Allah
Sesungguhnya manusia sifatnya pelupa
Walau disogok seribu nasihat setiapa masa
Hati tetap sukar ditembusi kerana dosa-dosa
Menjadi dinding pemisah antara aku dan DIA
Uh’ dulu dalam gelap zulmat dunia
Walau lampu lagu rancak buatku berdansa
Bersama mereka yang sebahtera
Dalam bah peluh oh’ penuh nista
Yah’ yah’ ku terlupa
Aku khayal
Leka gembira walau sementara
Tapi nikmatnya
Kala itu tak terkata
Kerna apa?
Kerna aku tiada pegangan nyata
Aku hanyut dengan arus dunia
Dunia oh’ dunia!
Aku hanyalah manusia
Yang sering lupa
Yang selalu leka
Dengan tipu daya oh dunia
Ya Robbi (8x)
Ku serahkan segala
Terimalah doaku
Jika kau tanya aku jujur uh mengapa
Dunia seperti ahli silap mata
Bermain ilusi mengkaburkan minda
Semua di depan mata indah oh tampaknya
Walau hakikat oh sebaliknya
KitabNYA, kalamNYA yang dulu ku lupa
Ku mula baca walau merangkak seperti kura-kura
Kerana ku tahu hanya ini buku jawapan pada
Teka silang kata dunia!
Aku khayal
Leka gembira walau sementara
Tapi nikmatnya
Kala itu tak terkata
Kerana apa?
Kerana aku tiada pegangan nyata
Aku hanyut dengan arus dunia
Dunia oh dunia!
Aku hanyalah manusia
Yang sering lupa
Yang selalu leka
Dengan tipu daya oh dunia
Ya Robbi (8x)
Ku serahkan segala
Terimalah doaku
Aku tidak berdaya (Ya ALLAH ya Tuhanku)
Berikanku cahaya (Ampunilah diriku)
Aku tidak bertenaga (Ya ALLAH ya Tuhanku)
Tempatkanlah ku di syurgamu
Ya Robbi (8x)
Ku serahkan segala
Terimalah doaku
Dulu bila orang kata solat itu tiang Agama
Aku ragui, tetapi kini ku pasti
Alhamdulillah

( Semoga bait-bait kata dari lagu ini dapat difahami oleh sahabat-sahabat , ambillah kebaikan yang ada daripada lagu ini )

Monday, February 7, 2011

Perjuangan belum selesai

Perjalanan kehidupan ini ibarat sebuah jambatan kayu di atas sungai yang menyeberangi antara satu kawasan ke kawasan yang lain.Seharian jabatan itu digunakan untuk menyeberang.Ada yang berlari,ada yang berjalan perlahan dan ada juga yang merakak.Bermacam gelagat dapat dilihat setiap kali orang ramai melaluinya.Semakin hari jambatan itu semakin reput dan lama kelamaan jika tiada yang ingin menaik tarafkan jambatan itu,sudah pasti jambatan itu akan roboh dan hancur.

Setelah itu,pastinya orang ramai tidak dapat menyeberang ke kawasan yang berada di seberang sungai itu.Sehinggalah di suatu ketika,orang ramai mula menyedari akan kepentingan jambatan ini dan mereka bersatu hati untuk bergotong royong dalam membina jambatan yang baru.d

Begitulah ibaratnya kehidupan kita ini.Dunia adalah gelanggang kehidupan dengan begitu banyak ragam manusia di dalamnya.Kehidupan ini menghendaki manusia untuk membanting tulang empat kerat agar perjalanan kehidupan ini terpelihara.Mencari rezeki yang halal dan berkat.Siang harinya mencari rezeki,malam harinya agar mereka ini lebih mendekatkan diri dengan Allah.

Bandar Kuala Lumpur ialah ibu negara Malaysia.Merupakan bandaraya yang pesat membangun dan menjadi tumpuan dalam mencari rezeki bagi masyarakat di malaysia.Kepesatan secara jelasnya memang membawa kebaikan kepada manusia tetapi secara tersembunyinya lebih membawa keburukan dan kehancuran jika tidak dibangunkan mengikut kemahuan agama Islam itu sendiri.Kuala Lumpur terkenal dengan Menara Berkembar Petronas.Menara yang 3 tertinggi di dunia ini seakan-akan menjadi simbolik yang begitu bermakna bagi masyarakat Malaysia.Lihatlah kemajuan ini begitu membawa sesuatu yang bermakna buat umat manusia di zaman kini.

Sedar tidak sedar kita sebenarnya tertipu dengan semua ini.Kita sehari-hari melalui kehidupan dengan merasakan kita selesa dengan apa yang kita kecapi.Ini membuatkan kita begitu lupa dengan masa depan iaitu AKHIRAT.Dunia digunakan hanya dengan satu matlamat iaitu mencari kemegahan,pembangunan dan harta kemewahan.Mana perginya agama,Allah,Muhammad,Al-quran dan Kalimah Syahadah kita?..Sudah hilang atau dijadikan matlamat kedua selepas kemewahan dunia?

Sebab itu manusia mula melalui kehidupan dengan begitu tamak haloba.Mereka lupa dan terus lupa.Dan terus menerus lupa dengan pencarian ke syurga.Makin lama dunia makin tua dan kini kita di akhir zaman.Janji Allah tetap akan terjadi.KIAMAT akan terjadi tanpa kita sangka.Kemunculan Yakjuj wa makjuj,Nabi Isa,Haiwan Melata,Dajjal dan sebagainya seperti yang tercantat di dalam kalam Allah akan muncul pada bila-bila masa.Dunia malah sering berpesan kepada manusia yang menghuninya dengan berbagai bentuk pesanan.Gempa bumi,letusan gunung berapi dan ombak Tsunami yang melanda manusia kini adalah antara peringatan dan nasihat yang berbisa dari dunia yang datangnya dari tuan punya dunia.Mahu nafikan segala?..

Bangkitlah wahai umat Muhammad.Perjuangan dalam mengharungi sisa-sisa akhir zaman ini perlu diteruskan..Kita tidak tahu bila janji Allah akan muncul.Cuma kita diperingatkan dengan berbagai pertunjuk.Bagi yang memahami,akan mula sedar dengan hakikat ini.Ingatlah,dunia ini jambatan dan jika jambatan ini runtuh ia tidak akan mampu dibina semula kerna perjalanan seterusnya bagi umat manusia adalah ketika berhadapan dengan Allah di padang masyar.Antara syurga atau neraka,itulah yang menjadi penentu  perjalanan kita dimasa hadapan.Masa hadapan kita terletak pada ilmu dan amal kita.Beramallah demi Allah kerna beramal itu adalah jalan kearah mencapai perjuangan yang semakin mencabar ini.Saya Akhiri Kalam ini dengan peringatan yang tulus murni..\

Janganlah kita berbangga dengan kemajuan yang dikecapi..
Janganlah kita selesa dengan kemajuan yang kita capai..
Tapi beringatlah dengan janji Allah...
Dan majukan rohani,Akhlak dan agama ..
Kerna itu yang membawa kamu kepada yang maha esa..
Allah redha insyaAllah kita hidup bahagia..

Sunday, February 6, 2011

Tazkirah Maghrib Oleh Akhi Muhammad Shazni Hawari

Tarikh
Tajuk Ceramah
Tempat
9/2/2011
8.00 Malam
Batal tetapi digantikan dengan tazkirah dari Saudara Anas
Surau At-Tholabah
Institut Profesional Baitulmal
16/2/2011
8.00 Malam
Tazkirah Maghrib Bertajuk “Semangat dan Ghairah”
Surau At-Tholabah
Institut Profesional Baitulmal
23/2/2011
8.00 Malam
Tazkirah Maghrib Bertajuk 
"Nurani"
Surau At-Tholabah
Institut Profesional Baitulmal










Semoga sahabat-sahabat diluar sana dapat hadir ke ceramah yang akan diadakan ini.InsyaAllah kita akan mendapat barakah dari Allah .. Majlis ilmu adalah taman-taman syurga yang telah dijanjikan oleh Allah kepada sesiapa yang mencarinya...=)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...