Wednesday, October 12, 2011

Dunia ohh .. Dunia ..

Dalam gelagat dunia berbicara , manusia tidak sesekali memahami apa yang dibicarakan dunia . Tatkala inilah manusia sewajibnya kembali kepada AL-Quran dan As-Sunnah . Semua ini adalah atas dasar manusia itu semakin buta dengan tindakan mereka , angkuh , rakus , tamak haloba sedangkan dunia semakin hari semakin berbicara kepada manusia yang betapa "uzur" nya bumi ini . 


Kefahaman manusia memang terhad . Manusia telah dikurniakan Allah dengan ilham , idea , kepandaian yang melangkaui batas makhluk lain di dunia ini.Beza nya ialah bagaimana kepadaian itu digunakan dalam memahami setiap gerak geri dunia , tingkah laku dan setiap bicara dunia yang tanpa henti terus menyampaikan mesej berguna kepada manusia.


Tanpa sebatang pen , sekeping kertas , atau setitis dakwat , dunia kini mulai mencapai suatu tahap yang ingin memberitahu manusia bahawa kiamat semakin dekat.Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui , dalam dunia kita akan mendengar mesej Allah yang disampaikan oleh dunia.Pertama , mesej datangnya dari ayat-ayat Al-Quran yang telah diwahyukan oleh Allah sejak zaman berzaman lagi. Seterusnya yang kedua ialah dengan terjadinya berbagai peristiwa bencana alam yang dasyat , cuaca tidak menentu dan peristiwa yang ganjil sehingga segalanya sukar dimengerti oleh manusia.


Maka diwaktu inilah manusia harus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam erti kata lain , manusia sewajibnya kembali bersujud dan menjadi hamba Allah yang sebenar. Seharian kita lihat manusia semakin lupa , bukan sedikit malahan boleh dikatakan maksiat berlaku dimana-mana.Berlakunya maksiat di persekitaran hidup kita juga adalah mesej dari Allah yang disampaikan oleh dunia kepada umat manusia. Diantara kita sedar atau tidak , segalanya terletak kepada kefahaman kita tentang kehendak Allah.


Dalam Hadis Riwayat Muslim , Rasulullah SAW bersabda "Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu , sejengkal demi sejengkal , sehasta demi sehasta , sehingga jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu tetap akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya " Ya Rasulullah , adakah yahudi atau nasrani yang kau maksudkan ? ", Nabi menjawab " Siapa lagi kalau bukan mereka "..


Cemas ? .. Berasa gementar ? .. Sudah terbukti kini , setiap gaya hidup masyarakat yahudi dan nasrani telah pun kita ikuti sedikit demi sedikit sehingga cara hidup islam telah hilang dalam diri kita . Semua adalah atas kejahilan kita dalam memahami mesej dunia , mesej Allah . Rasulullah telah pun memberitahu dalam hadis-hadis nya tentang semua tanda-tanda dan mesej yang akan muncul menjelang tibanya pengakhiran umur dunia.


Wahai sahabat , saudara-saudaraku . Kita semua banyak khilafnya , andai terasa berdosa dan semakin jauh dengan Allah cubalah untuk kembali dekat dengan nya . Dalam zaman sebegini , kita bermuhasabah lah dengan setiap apa yang berlaku. InsyaAllah berkah Allah terletak di mana-mana . Wallahualam.


~ Penulis juga bukanlah seorang yang dijamin masuk syurga atau terlepas dari dosa , kita semua adalah sama , tidak terlepas dari dosa , kadangkala kita alpa , lupa dan semakin hanyut dengan keseronokan dunia .. Penulis tidak menafikan semua itu , semoga kita sama-sama kembali kepada jalan Allah ~ Akhi Muhammad Shazni ~


Suatu hari nanti , duniakan musnah .. Maka mana tempat untuk kita tinggal ? .. Syurga atau neraka ? .. Itulah persoalannya ..

Tuesday, October 11, 2011

Maafkanlah kesilapan orang lain

Hidup dalam kesilapan adalah lumrah sebagai manusia.Lumrah itu terjadi atas suatu kelalaian , atau sikap manusia yang melakukan suatu pekerjaan itu tanpa tujuan , tunjuk ajar , panduan mahupun matlamat yang hakiki. Kadangkala kita akan sering menyakiti hati manusia , menyentuh hati-hati insan di sekeliling kita tanpa sengaja mahupun dengan sengajanya .

Maka alasan inilah yang membawa kepada suatu perbincangan tentang keburukan orang lain , tentang rasa sakitnya hati ini terhadap orang yang melakukan kesalahan itu walhal kita perlu sedar kesilapan itu bukan sahaja dilakukan oleh pesalah itu sahaja tetapi turut dilakukan oleh kita sendiri tanpa kita sedari.

Mengapa ? ..

Setelah sekian lama telah termaktub , tercatat di dalam Al-Quran Surah An-Nuur ayat 22 yang bermaksud " Dan jangan lah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan  di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi ( bantuan ) kepada kaum keluarganya , orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan-jalan Allah dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada . Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu ? , Dan Allah adalah maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Menurut Al-Sayuti ( 1986:404 ) , ayat di atas diturunkan berikutan perbuatan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq R.a yang terlalu marah terhadap Mistah kerana menyebarkan cerita fitnah ( Kisah Ifki) terhadap anaknya Aisyah sehingga beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan akan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya.

Nyata kisah diatas ini menjadi contoh yang begitu tepat dengan soal salah silap seorang manusia dan betapa sifat pemaaf itu sewajibnya ada pada diri kita . Ternyata perbuatan Saidina Abu Bakar itu dilarang oleh Allah kerna sebaik-baik manusia ialah manusia yang berlapang dada dan mudah memaafkan.

Logiknya memaafkan kesilapan dan kesalahan orang itu adalah ubat segala penyakit . Ini kerna manusia kini selalunya berada dalam keadaan gelisah , kecewa dan sakit hati adalah disebabkan sukarnya memaafkan orang. Mereka ini sudah pastinya kurang bermaya , malah sering berselubung di dalam kesedihan mahupun kemarahan .

Logiknya :

Sakit jatung - Marah
Darah Tinggi - Marah
Migrain - Sedih / Kecewa

Diantara yang diatas ini adalah kebiasaan yang dapat kita lihat . Penyakit asalnya memang datangnya dari hati ( dada ) . Allah SWT telah pun menyatakan berlapang dada itu adalah sifat sebaik-baik manusia . Cuba sekali kita memaafkan kesilapan orang lain , pastinya segalanya penyakit kita akan semakin baik dan hidup kita akan lebih terkehadapan.

Lihat sahajalah Rasulullah , Muhammad SAW yang amat kita sayangi.Beliau tidak menghidap penyakit seperti manusia di zaman ini . Kerna apa ? . Jawapan nya kerna beliau sentiasa berlapang dada . Dalam Hadis Riwayat Muslim , dalam Kitab Bersuci Hadis No 427 menyatakan kisah di zaman Rasulullah.Rasulullah SAW juga pernah memaafkan seorang Arab Kampung yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid . Baginda menegah/melarang orang ramai daripada mengerumuni dan menghalangi orang arab tersebut.Menurut Anas Bin Malik , sebaik sahaja orang tersebut pergi , Rasulullah SAW meminta sebaldi air , lalu mencurah ke atas tempat yang di kencing oleh orang Arab Kampung tadi.

Dari kisah ini , sifat Rasulullah ini sewajarnya menjadi contoh buat kita dalam berhadapan dengan situasi yang sedemikian . Bukankah memaafkan kesalahan orang lain dan mengambil ikhtibar daripada kesilapan yang dilakukan oleh orang itu adalah yang terbaik berbanding kita terus berdendam dan bermasam muka.Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun , maka contohi sifat Allah ini .

Selami hati , andai kita alpa dan lupa .. berzikirlah pada Allah agar hati kita sentiasa ingat kepadanya .


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...